cerita saya, kesihatan dan kecantikan

cerita saya, kesihatan dan kecantikan

23 Mar 2015

AMALAN PEMAKANAN SEMASA BERPANTANG PULIHKAN BADAN DENGAN CEPAT

Assalamualaikum..

Berpantang adalah tempoh pemulihan dengan pelbagai rawatan yang perlu dilakukan supaya badan kembali segar. Keperluan ini penting kerana semasa hamil keseimbangan hormon badan telah terganggu. Antara aspek rawatan dalam tempoh berpantang  ialah amalan pemakanan berpantang.

Waktu Makan
Pada minggu pertama, digalakkan makan makanan kering bagi pengecutan rahim. Makan tepat pada waktunya bagi mengelakkan perut masuk angin. Makan nasi ketika masih panas dalam kadar sederhana. makan sedikit-sedikit tetapi kerap.

Pada minggu ke dua dan seterusnya sudah boleh makan makanan yang berkuah seperti sup sayur dan sup ikan dan juga buah-buahan supaya mendapat makanan berkhasiat.

Makanan yang dilarang adalah bersifat sejuk, berangin,gatal dan berbisa, berlemak dan berminyak. Minuman berais juga tidak dibenarkan.

Elakkan Makanan Berlemak
Apa yang di makan akan memberi impak kepada tubuh. Pastikan jumlah makanan yang diambil terkawal supaya tidak menjejaskan berat badan. Anda digalakkan mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan ulam-ulaman dan menggunakan pelbagai jenis rempah  satus.

Minum Air
Pengambilan air semasa pantang tidak dibenarkan dalam jumlah yang banyak dalam satu masa. Keadaan ini akan membuatkan perut menjadi buncit, peranakan kembang, melambatkan proses pengecutan rahim dan faraj longgar.

Air mestilah diambil tetap dan kerap dalam jumlah yang sedikit dalam satu masa. Air amat penting untuk pengeluaran susu ibu dan proses penyembuhan.

membuang angin
Lazimnya selepas bersalin, badan akan berangin dan perlu diurut. Selain halia, sayuran sawi dikatakan dapat membuang angin. Seelok-eloknya sayur-sayuran ini dimasak terlebih dahulu dan dimakan bersama nasi panas.

Anti Oksida
Semasa dalam pantang, toksin dalam badan juga perlu dibuang supaya badan kembali segar. Antara ulam yang sesuai dimakan ialah cekur, pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, kunyit hidup, daun kesum dan halia.

Ulam-ulaman ini bersifat anti oksida dengan mengandungi fiber, zat galian dan pelbagai vitamin antaranya A,C, dan E.

Proses Penghadaman
Dalam menu masakan berpantang, biasanya halia adalah herba wajib yang mesti ada. Sifatnya dipercayai 'panas' dan 'kering'. Pengambilan halia semasa berpantang adalah digalakkan untuk membantu memecahkan angin, menghilangkan sejuk badan dan melancarkan proses penghadaman.

Masalah Keletihan Dan Kemurungan
Keletihan, tidak cukup tidur, kemurungan akibat masalah fizikal adalah perkara yang mungkin dialami selepas bersalin.

Pengambilan daun pegaga adalah antara ulam-ulaman yang dimakan semasa berpantang. Daunnya disifatkan sebagai tonik saraf kerana fungsinya yang membantu merehatkan  dan menambahkan ningatan.

Sumber Tenaga
Selain makanan herba, sayuran dan buah-buahan, amalan meminum air rebusan seperti serai(dititik), halia, kulit  kayu manis dan lada hitam dapat mengembalikan tenaga tubuh. Pengambilan air rebusan ini setiap pagi dan malam adalah untuk memastikan badan kembali bertenaga.

Kecutkan Rahim
Amalan memakan kunyit hidup bersama nasi panas selama 40 hari mampu mengembalikan kecergasan tubuh dan menyembuhkan luka dalaman. Malah kunyit juga dijadikan minuman untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah.

Penyembuhan 
Untuk memastikan luka kembali sembuh, buah oren mempunyai khasiat dan banyak mengandungi vitamin C untuk penyembuhan luka-luka dan juga kepada kesihatan.

Elakkan makan makanan yang menjalar, sejuk, angin seperti kangkung, timun, sayur keladi, bayam dan rebung.  Tebu, cincau, jambu, nanas, pisang, cempedak merupakan antara makanan yang sejuk dan tajam. Dilarang makan makan ini kerana ia boleh mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot dan lemah sendi.

Ikan Segar
Selain pemakanan ulaman, dan herba, pemilihan ikan segar juga perlu betul. Ia perlu kerana ada ikan yang tidak sesuai untk dimakan semasa berpantang. Ikan segar dan tidak gatal antaranya ikan haruan, sardin dan selar.

Ikan haruan amat digalakkan terutama bersalin secara pembedahan. Elakkan mengambil ikan gatal dan berbisa seperti ikan kembung, cencaru, tongkol, bawal hitam dan terubuk. Jika salah pengambilannya, kebarangkalian anda akan mengalami reaksi alahan dan boleh menyebabkan bentan di pintu rahim.

Jika kita mengamalkan pemakanan  yang betul semasa dan selepas berpantang beserta pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat, pasti badan kita akan berasa segar, sihat, bertenaga dan yang penting sekali kulit menjadi cantik.


No comments: