cerita saya, kesihatan dan kecantikan

cerita saya, kesihatan dan kecantikan

29 Jun 2013

SAYANGI JANTUNG ANDA

Jantung ialah satu organ yang terdapat dalam tubuh kita. Ia terbina dari otot yang kuat dan mendapat bekalan darah dari jalinan salur darah mengelilinginya.
Bila otot jantung tidak mendapat bekalan darah yang cukup orang itu dikatakan mengidap SAKIT JANTUNG.
Punca utama yang selalu berlaku ialah saluran darah menjadi sempit. Penyempitan ini berlaku kerana dinding sebelah dalam saluran darah diselaputi oleh lemak terutamanya KOLESTROL.
Jika saluran darah menjadi sangat sempit ada bahagian jantung yang tidak dapat bekalan darah yang cukup. Ini mengakibatkan berlakunya SAKIT DADA.
Pesakit merasakan dadanya seolah-olah diikat. Rasa sakit ini mungkin merebak ke tengkuk dan tangan.
Jika saluran darah tertutup sepenuhnya sebahagian dari otot jantung akan rosak mengakibatkan sakit dada yang teramat sangat. Keadaan ini dikenali sebagai SERANGAN SAKIT JANTUNG.
Jika kerosakan itu terlalu teruk pesakit mungkin MATI. Oleh itu, bila terasa sakit dada segeralah pergi ke hospital. Jangan tunggu. Ia mungkin akibat serangan jantung.
FAKTOR-FAKTOR MEMUNGKINKAN BERLAKUNYA SERANGAN JANTUNG
MEROKOK - Merokok menambahkan kemungkinan sakit jantung sebanyak 3 hingga 6 kali. Badan yang terdapat asap rokok akan:-
·         Mempercepat pembekuan darah.
·         Merosakkan saluran darah dan menggalakkan pemendapan lemak di dinding saluran darah.
·         Mengurangkan bekalan oksigen ke jantung.
TEKANAN PERASAAN – Bila seseorang mengalami tekanan perasaan degup jantungnya meningkat dan tekanan darahnya juga turut meningkat.
KANDUNGAN LEMAK YANG TINGGI DALAM BADAN – Ini berlaku bila seseorang itu terlalu banyak memakan makanan yang tinggi kandungan lemaknya seperti mentega, minyak sapi, keju dan daging berlemak. Lebih tinggi kandungan lemak lebih tinggi pula risikonya.
KURANG SENAMAN – Meningkatkan kemungkinan sakit jantung sebanyak 2 kali. Senaman penting bagi menguatkan otot dan memperbaiki pengaliran darah ke jantung. Lebih penting ia merupakan satu cara menghapuskan tekanan perasaan.
DARAH TINGGI – Ini menggalakkan berlakunya penyempitan saluran darah. Hasilnya jantung terpaksa mengepam lebih kuat untuk mengalirkan darah melalui saluran yang sempit itu. Akibatnyasaluran darah menjadi lebih tebal yang menambahkan lagi halangan untuk pengaliran darah. Lebih tinggi tekanan darah lebih besar pula kemungkinan serangan SAKIT JANTUNG.
KENCING MANIS -  Mereka yang menghidap kencing manis mempunyai 2 hingg 3 kali kemungkinan serangan sakit jantung.
LANGKAH PENCEGAHAN
·         Jangan merokok
·         Kurangkan memakan makanan yang tinggi kandungan lemaknya
·         Bersenamlah selalu
·         Dapatkan rehat yang cukup
·         Makanlah ubat mengikut arahan doktor jika anda menghidap tekanan darah tinggi atau kencing manis.


No comments: