Menerima kehadiran orang baru adalah saat yang bahagia
terutama bagi pasangan yang baru berkahwin. Selain menyediakan persiapan
menerima cahaya mata, adalah lebih baik menyelitkan persediaan tentang pengetahuan penyusuan bayi
yang terbaik.
Bakal ibu perlu mempelajari teknik penyusuan bayi,
fungsinya, dan kebaikan buat bayi dan ibu itu sendiri. Penyusuan susu ibu
sepenuhnya vagus bagi perkembangan bayi sehingga enam bulan dan diteruskan
sehingga bayi berusia 2 tahun bersama makanan pelengkap. Pemberian susu ibu
sepenuhnya bermaksud bayi tidak diberi
makanan atau minuman tambahan yang lain selain daripada susu ibu.
Banyak kebaikan yang diperoleh oleh bayi yang menyusu susu
ibu kerana susu ibu membekalkan nutrien yang
terbaik dan kadar mencukupi bagi bayi. Malah,
kandungan nutrient juga akan berubah mengikut keperluan bayi yang sedang
membesar. Susu awal ibu mengandungi kolostrom (cecair berwarna kekuningan) yang
mampu menguatkan system imuniti bayi.
Selain itu, bayi yang menyusu susu ibu dapat melindungi bayi
daripada jangkitan penyakit seperti cirit birit, selesema, bronchitis, dan
radang paru-paru. Malahan, susu ibu juga dapat mencegah berbagai masalah alahan
seperti asma, eczema dan kolik bayi. Susu ibu juga mempunyai nutrient yang amat
kritikal bagi perkembangan otak dan membantu dalam meningkatkan kecerdikan
bayi. Susu ibu tidak mudah tercemar berbanding dengan cara penyusuan yang lain.
Keistimewaan susu ibu adalah mudah diperoleh pada suhu yang
betul pada setiap masa disamping memberikan keselesaan dan keselamatan emosi
kepada bayi. Ini memberikan peluang kepada ibu dan anak berinteraksi sepenuhnya
dan meningkatkan hubungan kasih saying antara ibu dan anak.
Dengan memberikan penyusuan susu ibu kepada bayi,
kebaikannya turut dirasai oleh ibu sendiri. Penyusuan susu ibu dapat membantu
mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada
saiz asal dengan cepat serta
mengurangkan pendarahan selepas bersalin. Penyusuan susu ibu juga mampu
membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal ibu dengan cepat. Selain itu
juga, dapat mengurangkan risiko kanser payu dara dan kanser ovary selain
berperanan sebagai perancang keluarga kerana mampu menjarakkan kelahiran
apabila mengamalkan penyusuan susu ibu secara
sepenuhnya.
Dari faktor ekonomi pula, penyusuan susu ibu ini tidak
memerlukan perbelanjaan dan bekalan susu sentiasa ada bagi bayi. Malah baik
bagi persekitaran kerana tidak memerlukan botol, tin dan kotak-kotak.
No comments:
Post a Comment